Wednesday, December 3, 2008

Kelahiran Sang Putri

Alhamdulillah, akhirnya doa saya dimakbul Tuhan. Saya dikurniakan seorang putri pada 27/11/2008 yang lalu. Kelahirannya sungguh mudah berbanding dgn abang-abangnya dan dialah yang paling besar-3.43kg!

27/11/2008

Pukul 8.00pg - Saya sudah siap untuk ke pejabat. Baru sahaja hendak turun ke bawah, anak-anak bangun dari tidur. "Nak i'isk ma..." si kecil Imran merengek, mahukan susu.
"Jom turun bawah, mama buatkan..."

Sampai dibawah, tiba-tiba perut saya terasa sakit. Tak terfikir langsung ini adalah sakit bersalin sebab sudah 2 minggu saya rasa saya sebegini. Sakit sekejap lepas itu hilang. Sakit dari pagi sampai ke tengahari, kemudian hilang.

Selepas buat susu, saya segera capai kunci kereta sambil anak-anak melambai-lambai. Syukur mereka tidak menangis seperti kebanyakan pagi. Biasanya kalau saya keluar rumah dahulu, pasti mereka akan menangis hendak ikut.

Rasa sakit masih datang setiap 7 minit sekali. Sebelum ke pejabat, saya singgah dulu di rumah mama untuk bersarapan. Selepas sarapan rasa sakitnya belum hilang. Saya rehat sebentar. Mana tahu rasa sakitnya akan hilang nanti.

Hampir pukul 9pg, rasa sakit masih tidak hilang, masih 7 minit sekali. Separuh hati saya terasa malas untuk ke pejabat tapi ada kerja yang masih belum selesai di pejabat. Ada klien yang mahu tandatangan perjanjian petang nanti. Saya kuatkan hati untuk pergi ke pejabat.

Sampai di pejabat, saya abaikan rasa sakit itu. Segera saya selesaikan perjanjian dan sign semua fail yang ada di atas meja. Menjelang tengahari, rasa sakit makin kuat - sekarang sudah 5 minit sekali. Saya telefon abang(suami) kerana saya rasa saya tak mampu untuk memandu pulang.

Pukul 1 ptg - abang sampai di pejabat dan kami makan tengahari di Restoren Nasi Ayam Hainan. Saya sudah tidak mampu untuk menahan rasa sakit. Saya segera minta abang untuk pergi ke hospital.

Dalam perjalanan ke hospital, abang tiba-tiba teringat yang di kedai, beras sudah hampir habis dan dia mahu pergi beli beras dulu. Saya terfikir, kalau ini sakit bersalin mesti lambat lagi nak bersalin...tapi tiba-tiba saya berubah fikiran...aduh sudah tak tertahan sakitnya...

Sampai di hospital, saya sudah tak mampu berjalan atau menjawab setiap pertanyaan doktor atau jururawat bila sakit datang memuncak. Subhanallah, Tuhan saja yang tahu betapa sakitnya untuk melahirkan...

Ternyata bila diperiksa, servik saya sudah terbuka 7-8cm, Allahu Akbar, cepatnya! Saya terus dibawa ke bilik bersalin. Di sana, saya diarahkan untuk tukar baju-atas katil saja, tak sempat untuk ke bilik air.

Dalam 15 kemudian, ada gesa untuk meneran-maka bermulalah proses kelahiran sang putri. Jururawat yang bertugas berteriak meminta saya meneran seperti mahu berak-berak keras! Aduh, saya hampir kehilangan akal dan tenaga untuk meneruskannya.

Akhirnya apabila saat kepala sang putri keluar, terasa satu nikmat yang tidak dapat digambarkan. Alhamdulillah... saya segera bertanya kepada abang, anak apa bang? Perempuan, bisik abang.

Hah? Baby girl? Alhamdulillah, Engkau makbulkan permintaan hambaMu ini ya Allah! Terima kasih...

Pukul 5ptg- saya dimasukkan ke Wad 5e katil no 8. Dalam wad ini ada 4 katil. Nampak selesa tapi saya tak dapat makan malam sebab diorang kata saya masuk lambat. Jadi, abang pergi beli makanan di kantin. Petang itu juga, Rina dan Nurul datang melawat.

Telefon mama-mama terkejut, dah bersalin? Kenapa tak beritahu mama? Aduh ma, dalam kelam kabut tu, tak teringat pun nak call siapa-siapa...Abang pulak, kalau tak disuruh, taklah teringat dia nak call...

Malam itu, saya dan baby tidur di hospital. Tapi baby ini tak mahu tidur lena, sekejap-sekejap terjaga dan nak menyusu. Letihnya badan, nak pergi toilet pun payah. Letak saja, menangis...kuat pulak tu suara. Dugaan betul!